Ahad, 10 Oktober 2010

Pandangan Asri Tentang Isu Wang Judi Di Pulau Pinang

Tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggunakan dana daripada sumber perjudian bagi membasmi kemiskinan di negeri itu sama ada untuk masyarakat bukan Islam dan Islam adalah tidak wajar.

Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (gambar) berkata, walaupun miskin, golongan tersebut mempunyai maruah dan seharusnya bantuan untuk membasmi kemiskinan itu diperoleh daripada sumber yang halal.

“Jangan kita menjadikan sumber kewangan daripada aktiviti judi sebagai amalan untuk membantu masyarakat miskin kerana dibimbangi ia menimbulkan suasana kebanggaan di kalangan syarikat judi kelak.

“Kita tidak mahu suatu hari nanti, masyarakat pun ‘terdidik’ dengan pandangan bahawa judi pun halal kerana sudah terbiasa mendapat bantuan daripada sumber judi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.



Mengenai kenyataannya dalam sebuah akhbar tabloid bahawa bantuan daripada sumber judi yang diterima rakyat miskin sebagai tidak haram, Mohd. Asri menjelaskan, beliau tidak mahu golongan berkenaan gusar.

Katanya, memang benar rakyat yang menerima bantuan tersebut tidak berdosa kerana yang menanggung dosa berkenaan adalah kerajaan negeri dan dalam konteks Pulau Pinang, exconya yang beragama Islam.

“Rakyat tidak mengetahui daripada sumber mana sumbangan itu diperoleh jadi mereka tidak berdosa, pihak yang berdosa adalah kerajaan negeri kerana mereka mengetahui daripada mana duit tersebut diperoleh,” jelasnya. (si Mansor Othman, Malik Kassim dll)


Ditanya dalam aspek manakah hasil judi boleh dimanfaatkan oleh kerajaan, beliau berkata, sumber daripada cukai judi boleh digunakan untuk tujuan pembangunan fizikal.

Menurutnya, bagi negara berbilang agama seperti Malaysia, aktiviti judi hanya boleh dibenarkan dalam jumlah kecil dan terkawal kerana aktiviti tersebut tidak berdosa ke atas penganut bukan Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan