Jumaat, 22 Oktober 2010

Bila Tuan Guru Bersubahat Dengan Zaid Penyamun



UMNO Kota Bharu Pertikai Zaid Jual Bangunan

UMNO Bahagian Kota Bharu hari ini meminta kerajaan negeri menjelaskan status tanah dan bangunan UMNO bahagian itu yang telah dijual oleh bekas ketuanya, Datuk Zaid Ibrahim kepada Pas Kelantan dengan nilai RM4.5 juta.

Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian berkenaan, Datuk Kamarudin Abdullah berkata, kerajaan negeri perlu membuat penjelasan berkenaan memandang mengikut keputusan mesyuarat exco kerajaan negeri pada tahun 80-an telah memutuskan bahawa tanah berkenaan hanya untuk didirikan premis bangunan UMNO dan premis perniagaan.

‘‘Berdasarkan kepada keputusan itu kerajaan negeri pada masa tersebut mengeluarkan geran atas nama pemiliknya Umbak Baru Sdn.Bhd dengan meletakkan syarat yang sama.

‘‘Oleh itu kita hairan bagaimana Pas Kelantan boleh membeli bangunan itu dan lebih aneh ia dijual atas nama bangunan UMNO Kota Bharu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau mengulas penjualan bangunan berkenaan yang perjanjiannya ditangani antara Zaid dengan Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan, Mohd. Zaki Ibrahim dan juga kepimpinan Pemuda negeri diketuai, Abdul Latif Abdul Rahman dan disaksikan Pesuruhjaya Pas negeri yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kelmarin.


Menurut Kamarudin, beliau kecewa dengan sikap kerajaan negeri dan Pas Kelantan yang sewenang-wenangnya melakukan pembelian tersebut tanpa mempedulikan sama ada ‘ia halal atau haram.’

‘‘Ia disebabkan pembinaan bangunan berkenaan adalah hasil usaha UMNO Kota Bharu pada tahun 80-an yang memohon sebidang tanah daripada kerajaan negeri bagi tujuan tersebut,’’ katanya.

Beliau berkata, selepas kerajaan negeri meluluskan permohonan itu, UMNO Kota Bharu telah menubuhkan syarikat Umbak Baru Sdn. Bhd. dengan tujuan yang mana AJK bahagian menjadi pemegang amanah kepada ahli-ahli.

‘‘Hasil daripada derma dan sumbangan kita mendirikan bangunan berkenaan tetapi ia terhenti pada tahun 1988 apabila UMNO diharamkan,’’ katanya.

Kamarudin berkata, masalah pembinaan berlanjutan sehinggalah 2001 apabila Zaid mengambil alih jawatan ketua bahagian.

‘‘Beliau menyudahkan proses pembinaan, tetapi kami tidak tahu status ahli UMNO bahagian sama ada sebagai pemegang amanah atau pemilik syarikat Umbak Baru Sdn Bhd,’’ katanya.

Beliau berkata, keadaan sebenar mengenai bangunan itu hanya diketahui apabila Zaid digantung keahlian oleh Lembaga Disiplin UMNO dan jawatan ketua bahagian dipangku oleh Datuk Fatmi Che Salleh.

‘‘Kita dimaklumkan bahawa ahli UMNO Kota Bharu bukanlah bertaraf pemegang amanah dalam Umbak Baru Sdn. Bhd. malahan syarikat itu sudah menjadi miliki individu dengan diketuai oleh Zaid,’’ katanya.

Berikutan rentetan itu, Kamarudin hairan bagaimana kerajaan negeri yang dipimpin oleh Nik Abdul Aziz sebagai ulama tidak tahu kedudukan sebenar mengenai status bangunan tersebut.

‘‘Sebab itu kita mahu penjelasan terutamanya status bangunan berkenaan yang sudah termaktub dalam minit mesyuarat negeri dan geran, apakah ia sudah diubah kerana sudah jelas sebelum ini bahagian tanah itu hanya untuk pembinaan bangunan UMNO dan premis perniagaan sahaja,’’ katanya.

Beliau berkata, sebagai kerajaan negeri yang menguar-uarkan slogan membangun bersama Islam adalah aneh apabila mereka bersedia membeli harta yang tidak tahu pangkal hujung sumbernya.

‘‘Tak kanlah Menteri Besar tidak mendapat maklumat sebenar, ini zaman teknologi, beliau berupaya mendapat semua itu supaya kerajaan negeri dan Pas Kelantan tidak terlibat dalam satu pembelian harta yang diragui,’’ katanya.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, UMNO sememangnya berusaha membeli semula bangunan itu dengan bersedia membayar kos yang dikeluarkan oleh Zaid bagi menyiapkan pembinaannya.

‘‘Tetapi ia ditolak oleh Zaid, beliau sebaliknya mahu menjualnya dengan harga pasaran semasa yang harganya jauh lebih tinggi,’’ katanya.

Utusan Malaysia / The Unspinners

Tiada ulasan:

Catat Ulasan