KEPALA BATAS: Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang mahu pucuk pimpinan parti itu mengkaji semula perjanjian antara parti pakatan berhubung keputusan memperuntukan kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) Penanti ditandingi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR). Timbalan Pesuruhjayanya, Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata desakan untuk Pas meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 31 Mei ini semata-mata memelihara amalan demokrasi yang sihat. "Keputusan PAS negeri bukan dibuat untuk jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 yang dijanjikan oleh kerajaan negeri sebaliknya bertujuan mengubah persepsi buruk rakyat terhadap kerajaan pakatan PKR-DAP-Pas," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan Pas kawasan Kepala Batas di sini, hari ini.
Mujahid berkata, peletakkan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti dilakukan secara mengejut dan tanpa alasan kukuh. Katanya, pakatan PKR-DAP-PAS wajib mengambil kira suara akar umbi yang tidak berpuas hati terhadap trend peletakan jawatan yang dikhuatiri menjadi suatu budaya politik tidak sihat di kalangan wakil rakyat. Kerusi DUN Penanti kosong berikutan Mohammad Fairus meletak jawatan ADUN pada 16 April lalu atas alasan mahu menyambung pelajaran.
Pada 28 April lalu, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman sebagai calon parti untuk bertanding di Penanti. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan