Ahad, 8 Januari 2012

Anwar Oh Anwar...... Apa cerita Sebenarnya.




Penulis masih lagi bingung dengan objektif dan apa yang mampu dicapai dengan jelajah seluruh negara yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mungkin tanpa disedari, usaha beliau sebenarnya makin menyerlahkan kredibiliti yang semakin luntur sebagai pemimpin yang mengetuai Pakatan Rakyat .

Apabila beliau mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tetap sebagai 'Perdana Menteri' sekalipun dipenjarakan atas konspirasi politik kerajaan pimpinan Barisan Nasional, ianya menguatkan lagi agenda peribadi melebihi dari agenda tuntutan dan ketulusan demokrasi yang sepatutnya diperjuangkan oleh gagasan pembangkang selama ini.

Anwar Ibrahim seharusnya lebih bijak dalam membentuk perjalanan kariernya sebagai ahli politik yang bijak, prolifik dan matang daripada mencetuskan polemik baru dan mengheret rakyat ke jalanraya. Langkah beliau hanya akan dipandang oleh rakyat sebagai usaha yang cukup terdesak dalam meyakinkan bahawa beliau tidak bersalah dalam pertuduhan kes liwat yang akan diumumkan 9 Jan ini.

Rakyat seharusnya dididik untuk menghormati keluhuran undang-undang dan bukannya diajar untuk melanggar prinsip undang-undang jika sebarang keputusan mahkamah tidak menyebelahi dan disabitkan kesalahan.

Anwar Ibrahim seolah-olah sudah lupa dengan perjalanan sejarah perbicaraan beliau selama ini. Beliau masih boleh mengemukakan rayuan jika disabitkan kesalahan. Mahkamah Rayuan pernah melepaskan beliau dari pertuduhan liwat sebelum ini. Apakah beliau tidak berpuashati dengan barisan peguamnya yang telah sebaik mungkin memberi penghujahan dan bukti untuk dipertimbangkan oleh hakim sebelum membuat keputusan.

Tindakan beliau hanya akan menyebabkan sebarang keputusan mahkamah tidak akan dihormati lagi. Ini akan menguatkan lagi pandangan perhimpunan besar-besaran yang telah mendapat kelulusan pihak berkuasa sebagai salah satu usaha untuk menggertak badan kehakiman. Anwar bakal dianggap menghina mahkamah jika hakim terpaksa menangguhkan keputusan penghakiman pada 9 Jan, jika sebarang situasi yang tidak diingini berlaku pada perhimpunan tersebut.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali berjanji tidak akan berlaku sebarang rusuhan dan perkara yang tidak seharusnya berlaku pada hari tersebut. Penulis mengalu-alukan janji dan usaha beliau namun rakyat melihat apa yang terjadi pada perhimpunan Bersih 2.0 Julai lalu. Perkara yang sama dijanjikan oleh pimpinan pembangkang bahawa tidak akan berlaku sebarang provokasi dalam perhimpunan yang dikatakan aman.



Penulis menjangkakan perhimpunan yang bakal diadakan tidak lebih dari usaha untuk meraih publisiti dari media antarabangsa. Ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah pernah berkata perhimpunan besar-besaran ini bukannya mengenai batang tubuh Anwar. Yang pasti, impak besar bakal diperolehi dari media baru dan inilah peluang yang sebaik mungkin bagi menunjukkan ketidakpuasan hati dalam perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim.

Apakah isu yang bakal diperjuangkan dan diketengahkan nanti. Perbicaraan kes mahkamah tidak berjalan dengan adil akibat campurtangan kerajaan? Umum mengetahui Anwar Ibrahim dan barisan peguamnya diberikan kebebasan sepenuhnya untuk memanggil saksi, membuang saksi, menangguhkan perbicaraan sebanyak mungkin mahupun usaha menukar hakim dan pendakwaraya mengikut skop undang-undang.

Rakyat boleh tidak bersetuju dengan undang-undang yang ada. Rakyat juga boleh mempersoalkan undang-undang yang ada. Rakyat juga berhak bersuara untuk menukar undang-undang yang ada. Namun apabila rakyat mengganggu keputusan penghakiman, sudah tidak lagi wujud kedaulatan undang-undang.

Apa guna menukar dan memberi nafas baru kepada undang-undang jika akhirnya rakyat kembali mempersoalkan undang-undang yang telah diluluskan dan dipersetujui dalam negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen. Tindakan Anwar Ibrahim hanya menunjukkan beliau tidak bersikap demokratik dalam mengormati kedaulatan undang-undang.

Adakah 'undang-undang rimba' sahaja yang mampu memuaskan hati beliau dan penyokongnya. Bagaimana dengan suara dan hak majoriti rakyat yang lain, yang turut terlibat secara tidak langsung membentuk undang-undang yang telah diluluskan dan diamalkan sebaik mungkin selama ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan