KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Dasar Kerajaan Dap Pulau Pinang secara sistematik menyingkir, menindas dan membuat masyarakat Melayu negeri itu bertambah miskin, kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said.
“Sejak Dap dan pakatan pembangkang memerintah, kisah Bazar Ramadan diganggu atau dilarang ini bukan baru. Dulu berlaku perkara yang sama di (Bazar Ramadan) Penang Road, tahun ini di Komtar pula.
“99% peniaga ini adalah orang Melayu yang bukan kaya raya pun, banyak sederhana agak-agak boleh cari makan. Apabila dihalang begini, mereka hilang mata pencarian, berpuasa, sambut raya (Aidilfitri) di dalam keadaan kekurangan.
“Maknanya perbuatan Dap ini memang terancang dan sistematik, saya yakin mereka tahu apa kesannya kepada peniaga terlibat dan orang Melayu,” katanya kepada UMNO-Online, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta engulas tindakan pihak pengurusan Komtar, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) iaitu sebuah agensi kerajaan negeri menghalang para peniaga Melayu daripada berniaga di Bazar Ramadan yang diwujudkan di tingkat tiga kompleks tersebut pada bulan puasa ini.
Semua 27 peniaga terbabit hanya dimaklumkan Jumaat dua minggu lalu tentang keputusan PDC itu sedangkan persiapan telah dibuat untuk mereka memulakan perniagaan. Ketua Menteri, Lim Guan Eng kemudiannya tampil bukan untuk mencari penyelesaian, sebalik menambah ketegangan dengan menuduh Persatuan Peniaga Komtar (KMA) pecah amanah.
Zaidi yang juga Penyelaras BN DUN Permatang Pasir berkata, beliau bukan bercakap mengenai orang UMNO saja. “Mereka yang berniaga di Bazar Ramadan ini orang Melayu dari semua latar belakang, orang Pas pun ada, PKR pun ada, memang orang Melayu jadi mangsa.”
“Selepas itu, Guan Eng janji pula RM1,000 untuk warga emas, ingat rakyat buta? Yang dulu pun janji RM100 pun berkali bayar saja, janji masa kempen pilihan raya macam nak bagi ‘cash’ (tunai), tapi jadinya lain, mereka bayar bil air pula.
“Anwar (Ibrahim, penasihat PKR) anak Pulau Pinang yang juga jadi penasihat ekonomi Selangor, diam pula… tidak berbunyi langsung, apa lagi membela peniaga-peniaga dan nasib Melayu Pulau Pinang… apakah dia (Anwar) dan Pas restu perbuatan Dap ini?” tegas Zaidi. -MediaUMNO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan