Dua bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memulangkan darjah kebesaran serta ganjaran yang diperoleh hasil keistimewaan orang Melayu.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang membuat cabaran itu berkata, beliau berasa pelik dengan tindakan Anwar yang menolak ketuanan Melayu kerana beliau merupakan pejuang utama konsep itu sewaktu menjadi Ketua Pemuda sehingga ke Timbalan Presiden UMNO.
"Mereka (Anwar dan Azizah) tidak layak menerima darjah kebesaran itu. Anwar begitu hipokrit kerana beliaulah yang mewujudkan konsep ketuanan Melayu sewaktu bersama UMNO dahulu.
"Tetapi kini, dia menolak ketuanan Melayu. Adakah Anwar berasa kesal kerana tidak lagi berkuasa dan mahu menghapuskan konsep tersebut?" katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Beliau mengulas rasa dukacita Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap segelintir pihak yang berhijrah ke negeri itu, terutamanya orang Melayu sendiri, yang sanggup mempersoalkan kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, sama ada institusi raja Melayu masih relevan dan juga peranannya dalam sistem pemerintahan negara.
Wan Azizah ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh di Petaling Jaya Ahad lalu berikrar untuk tidak meneruskan konsep ketuanan Melayu.
Anwar dalam ucapan penggulungan di hari terakhir kongres PKR itu memperlekehkan konsep ketuanan Melayu serta usaha-usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar di kalangan masyarakat Melayu dan bumiputera.
Zahrain berkata, sewaktu Anwar menjadi Menteri Kewangan dahulu, ramai kroninya mendapat layanan istimewa atas dasar Melayu termasuk anak emasnya yang kini Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
"Masa dia (Anwar) berkuasa dahulu banyak kawan dia yang mendapat keistimewaan atas dasar orang Melayu. Tetapi kini bila tidak lagi berkuasa konsep yang diperjuangkan olehnya itu ditentang. Ini pemimpin yang hipokrit dan cakap tak serupa bikin," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin turut mencabar Anwar menyerahkan kembali darjah kebesaran yang diterimanya daripada raja-raja Melayu.
"Dulu ketuanan Melayu cukup kuat dipertahankan, tetapi hari ini Anwar mempertikaikan konsep itu. Ini satu politik cakap tidak serupa bikin.
"Kenapa sekarang nak pertikai selepas memperkayakan diri, keluarga, kawan-kawan dan kroni-kroninya melalui konsep tersebut. Kalau Anwar ada maruah dia harus serah balik semua anugerah dan darjah kebesaran yang diterimanya," katanya.
Beliau berkata, Anwar juga tidak layak untuk menerima anugerah dan darjah kebesaran kerana Penasihat PKR itu merupakan bekas banduan.
"Dia (Anwar) sendiri sudah tidak layak kerana merupakan bekas banduan. Saya ingat masa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor dipenjarakan, Anwar antara orang yang kuat mendesak supaya ditarik balik darjah kebesaran diterima Rahim kerana dipenjarakan," katanya.
Sumber: Pejuang Bangsa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan