Isnin, 27 April 2009

Penanti - Biro Politik Bermesyuarat

PUTRAJAYA 27 April - UMNO akan menentukan pendiriannya sedikit masa lagi sama ada akan bertanding atau tidak dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang 23 Mei ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden UMNO itu berkata, Biro Politik parti yang dipengerusikan oleh beliau akan bersidang dalam tempoh terdekat untuk memuktamadkan keputusan tersebut.
''Nantilah, kita akan bersidang dalam sedikit masa lagi, kita tunggu mesyuarat tersebut," katanya
Beliau bercakap demikian pada sidang akhbar mengumumkan liberalisasi sektor kewangan di sini hari ini.
Jumaat lalu, Najib berkata, Majlis Tertinggi UMNO telah menyerahkan kepada biro politik parti tersebut untuk membuat keputusan.
Sementara itu, Najib menyambut baik keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguatkuasakan larangan parti-parti politik yang bertanding mewujudkan pondok panas pada hari pengundian.
Perdana Menteri berkata, langkah itu mampu mengelakkan ketegangan di kalangan para penyokong parti sekali gus mewujudkan suasana lebih tenteram bagi membolehkan pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.
''Saya fikir ia satu langkah yang baik, sebab kita lihat apabila ada pondok panas dengan bilangan penyokong parti yang terlalu ramai, ia boleh menimbulkan ketegangan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan