Maruah hanya boleh dikembalikan dengan keluar Barisan Nasional, demikianlah pandangan Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin, sambil menambah "kini masa terbaiknya untuk Gerakan keluar dari BN."

"Seandainya (keluar BN) selepas PRU, atau ketika gambar Koh Tsu Koon (Presiden Gerakan) dikoyak, maka akan dituduh sebagai tindakan yang didorong emosi, atau bagaikan kacang lupakan kulit. Saat-saat itu bukanlah masa terbaik untuk meninggalkan BN," katanya.

Beliau menyambung, "Kini, setelah dua tahun bertenang, dan sudah jelas keadaannya, maka perlulah kita meninggalkan BN secara berstrategi. Alasannya, senario tidak berubah, BN juga tidak berubah. Sudah tiba masanya untuk tinggalkan BN."

Demikianlah kata-kata yang diluahkan oleh Lim Si Pin ketika mengetuai rombongan lawatan ke pejabat Sin Chew Daily, pada 3 Mac yang lalu. Walau bagaimanapun, ini hanyalah "pandangan peribadi" Lim Si Pin, yang enggan dipetik atas kapasiti "Ketua Pemuda Gerakan".

Merdeka Review


Nampaknya memang benar angin-angin yang mengatakan bahawa GERAKAN di P.Pinang amat bersetuju dan juga selesa dengan corak pemerintahan DAP di negeri itu.

Patutlah tiada satu usaha pun dilakukan oleh parti GERAKAN didalam usaha untuk mengambil semula negeri P.Pinang yang telah ditawan oleh DAP pada PRU12 yang lalu.

Rakyat banyak melihat UMNO yang mengatur gerak kerja dan juga berusaha mendekati rakyat bagi memulihkan kembali kepercayaan mereka kepada pihak kerajaan. Namun di pihak GERAKAN, amat kurang sekali aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan.

Jika sebelum ini Naib Presiden GERAKAN mendesak UMNO supaya tak menerima Zulkifli Nordin yang mereka sifatkan sebagai rasis dan juga ektremis agama, kini Ketua Pemuda GERAKAN pula begitu lantang mahu GERAKAN keluar dari gagasan Barisan Nasional.

Apa lagi yang mereka di pihak GERAKAN ini masih belum puas hati?

Bukankah Presiden mereka masih diberikan jawatan menteri walaupun kalah dikawasan sendiri dan parti mereka gagal mempertahankan negeri P.Pinang? Apakah mereka berasakan kekalahan Barisan Nasional di P.Pinang hanya semata-mata hanya kerana UMNO dan mereka itu bebas dari sebarang tanggung jawab?

GERAKAN jangan lupa bahawa UMNO memenangi hampir kesemua kerusi yang ditandingi di negeri itu. Manakala GERAKAN pula tewas disemua tempat yang mereka bertanding.

Apakah ini belum cukup untuk pihak GERAKAN ini menyedari bahawa merekalah yang bertanggung jawab diatas kejatuhan negeri P.Pinang kepada DAP dan juga Pakatan Pembangkang?

Mungkin ada komplot diantara pihak GERAKAN dan juga DAP di P.Pinang ini kerana GERAKAN dilihat lebih banyak menyebelahi tindak tanduk DAP didalam banyak hal. Isu Kampung Buah Pala, isu gerai dirobohkan dan juga lain-lain isu di P.Pinang langsung tak nampak penentangan di pihak GERAKAN.

Apakah kerana kedua parti ini bermajoritikan kaum yang sama maka mereka bersekongkol diantara satu sama lain? Jika benar, maka tak gunalah lagi GERAKAN berada didalam gagasan Barisan Nasional.

Selama ini melayu P.Pinang pun tak begitu diutamakan didalam agenda pembangunan pemerintahan GERAKAN. Cuma keadaan menjadi lebih buruk dengan kehadiran puak-puak cauvinist DAP memerintah negeri itu.

Jadi, elok sangatlah cadangan dari Ketua Pemuda GERAKAN ini dilaksanakan kerana buat apa lagi disimpan "daging yang busuk" didalam Barisan Nasional.

Kata-kata ego kononnya maruah hanya boleh dikembalikan dengan GERAKAN keluar dari Barisan Nasional adalah merupakan satu penghinaan dari pihak GERAKAN. Maruah apa yang boleh dikembalikan jika merekalah yang sebenarnya menjadi punca kekalahan Barisan Nasional di negeri P.Pinang.

Kini GERAKAN berlagak seolah-olah mereka tak bersalah dan tak perlu bertanggungjawab. Semuanya mereka lepaskan dibahu Barisan Nasional.

Pasti ada sesuatu yang telah berlaku diantara mereka dengan kerajaan DAP negeri. Dikala DS Najib sibuk mempromosikan gagasan 1Malaysia, mungkin ada parti komponen sendiri sedang sibuk secara sulit mengatur kerjasama.

Nampaknya bangsa melayu di P.Pinang akan semakin terhimpit selepas ini. Benarlah kata pepatah, "anak ular jangan dipelihara, kelak suatu hari ia akan mematuk juga".